Cara Kenali Website Scam Supaya Tidak Mudah Ditipu | Dalam era digital yang semakin berkembang pesat ini, urusan harian seperti membeli-belah, perbankan, dan pendaftaran perkhidmatan kebanyakannya dilakukan secara dalam talian. Walaupun ia memberi kemudahan yang besar kepada pengguna, penggunaan internet yang meluas ini juga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti penipuan siber, terutamanya melalui laman web palsu atau lebih dikenali sebagai website scam.
Oleh itu, amat penting untuk kita mengetahui cara kenali website scam agar tidak menjadi mangsa kepada penipuan yang boleh menyebabkan kerugian wang, pencurian data peribadi, dan pelbagai lagi kesan buruk. Artikel ini akan menghuraikan secara terperinci tentang maksud website scam, ciri-cirinya, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengenal pasti dan mengelak daripada menjadi mangsa.
Klik Untuk Lihat Isi Kandungan
Cara Kenali Website Scam Supaya Tidak Mudah Ditipu
Cara Kenali Website Scam Supaya Tidak Mudah Ditipu
Apa Itu Website Scam?
Website scam merujuk kepada laman web palsu yang direka oleh penjenayah siber dengan tujuan untuk menipu pengguna. Laman ini mungkin kelihatan sah dan profesional, namun tujuan sebenar pembinaannya adalah untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad kredit, nombor akaun bank, dan kata laluan.
Taktik yang digunakan sangat licik dan sering kali menyerupai laman web asal syarikat terkenal seperti bank, syarikat kurier, platform e-dagang, atau organisasi kerajaan. Dengan penampilan yang meyakinkan, ramai pengguna terpedaya dan memberikan maklumat peribadi mereka tanpa menyedari bahawa mereka sedang ditipu.
Mengapa Website Scam Berbahaya?
Kesan daripada melayari dan berinteraksi dengan website scam boleh menjadi sangat serius. Antara risikonya termasuklah:
Kehilangan wang dalam jumlah besar.
Kecurian identiti dan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Akaun bank atau media sosial digodam.
Komputer atau telefon dijangkiti malware atau virus.
Reputasi tercalar jika penipuan melibatkan nama kita.
Maka, mengetahui cara kenali website scam adalah satu keperluan penting, bukan pilihan.
Cara Kenali Website Scam Dengan Tepat
Berikut adalah panduan lengkap untuk mengenal pasti laman web scam. Anda boleh menggunakan senarai semak ini sebelum mempercayai mana-mana laman web:
1. Periksa Alamat URL
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melihat alamat URL laman web tersebut.
Ejaan URL mencurigakan: Website scam sering menggunakan ejaan yang hampir sama dengan laman web asal, seperti mayb4nk.com bukannya maybank.com.
Guna sambungan tidak selamat: Jika laman web tidak menggunakan HTTPS (Hypertext Transfer Protocol Secure), itu adalah petanda bahaya. Sentiasa cari ikon padlock di bar alamat.
Domain tidak rasmi: Banyak laman scam menggunakan domain seperti .xyz, .top, .biz, yang tidak biasa digunakan oleh organisasi sah.
2. Semak Reka Bentuk Laman Web
Laman web scam biasanya mempunyai reka bentuk yang tidak kemas atau kurang profesional.
Gambar tidak jelas atau pecah.
Susun atur tidak seimbang atau terlalu sesak.
Reka bentuk terlalu ringkas atau seperti dibuat tergesa-gesa.
Terlalu banyak iklan pop-up atau banner promosi palsu.
Walaupun ada laman web scam yang kelihatan profesional, ini masih menjadi petunjuk berguna terutamanya untuk laman yang kurang dikenali.
3. Tiada Maklumat Syarikat Yang Jelas
Website yang sah akan memaparkan maklumat seperti:
Alamat pejabat fizikal
Nombor telefon rasmi
Alamat emel sokongan
Pendaftaran syarikat (jika berkaitan)
Jika semua ini tiada atau sukar dijumpai, ia adalah satu tanda amaran. Laman web scam sering menyembunyikan identiti sebenar mereka bagi mengelakkan dikesan.
4. Promosi Terlalu Menarik
Berhati-hati jika laman web menawarkan:
Diskaun sehingga 90% untuk produk premium.
Peluang kerja dengan gaji lumayan tanpa kelayakan.
Hadiah percuma hanya dengan isi borang.
Penjenayah siber menggunakan taktik “terlalu baik untuk jadi kenyataan” bagi menarik mangsa. Sekiranya tawaran kelihatan tidak masuk akal, kemungkinan besar ia adalah penipuan.
5. Lihat Polisi Privasi dan Terma Penggunaan
Website tulen akan menyediakan pautan ke dokumen penting seperti Polisi Privasi dan Terma & Syarat.
Jika tiada pautan ini atau halaman tersebut tidak boleh dibuka, itu tanda website scam.
Kadangkala, laman tersebut hanya menyalin polisi dari laman web lain, jadi pastikan anda membacanya dengan teliti dan semak konsistensi nama syarikat.
6. Gunakan Alat Semakan Keselamatan Laman Web
Anda juga boleh menggunakan beberapa alat atas talian percuma untuk menyemak status keselamatan sesebuah laman web:
Whois Lookup: Untuk melihat pemilik domain dan tarikh daftar laman web.
Jika laman web tersebut baru didaftarkan, tidak mempunyai pemilik yang jelas, atau banyak laporan negatif, jangan teruskan sebarang urusan.
7. Periksa Ulasan Pengguna
Carian nama laman web tersebut di Google dan lihat jika ada ulasan atau aduan daripada pengguna lain. Banyak laman scam telah dilaporkan dan perkongsian mangsa boleh membantu anda membuat keputusan.
8. Jangan Terus Klik Link Daripada Emel atau SMS
Ramai mangsa ditipu melalui pautan palsu yang dihantar melalui emel atau SMS.
Jangan klik sebarang link mencurigakan.
Elakkan memuat turun fail daripada sumber tidak diketahui.
Jika menerima mesej kononnya dari bank atau syarikat tertentu, semak terlebih dahulu melalui saluran rasmi mereka.
Tindakan Jika Anda Terserempak Dengan Website Scam
Jika anda mengesyaki sesuatu laman web adalah palsu, ini tindakan yang perlu diambil:
Jangan isi sebarang maklumat.
Ambil tangkapan skrin sebagai bukti.
Laporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau CyberSecurity Malaysia.
Kongsikan maklumat di media sosial atau forum untuk beri amaran kepada orang lain.
Jika anda telah memasukkan maklumat penting, segera hubungi pihak bank untuk membekukan akaun atau tukar kata laluan dengan segera.
Jadikan Diri Anda Pengguna Bijak
Penjenayah siber sentiasa mencari mangsa baharu dan taktik mereka juga semakin canggih. Maka, kesedaran dan pengetahuan tentang cara kenali website scam amat penting untuk melindungi diri, keluarga dan juga masyarakat.
Sebagai pengguna, amalkan sikap berhati-hati sebelum mempercayai mana-mana laman web. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang terlalu menarik dan sentiasa semak keaslian sesebuah laman web sebelum membuat sebarang transaksi.
Kesimpulan
Memahami dan mempraktikkan cara kenali website scam adalah langkah penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Dengan peningkatan kes penipuan digital di Malaysia dan seluruh dunia, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
Jadikan panduan ini sebagai rujukan utama sebelum melakukan sebarang urusan dalam talian, terutamanya yang melibatkan maklumat peribadi dan kewangan. Semoga artikel ini memberi manfaat dan dapat membantu anda serta orang sekeliling daripada menjadi mangsa scam.
Soalan Lazim (FAQ) Berkaitan Cara Kenali Website Scam
Apa tanda paling ketara bahawa sesebuah laman web itu adalah website scam?
Tanda paling ketara ialah alamat URL yang pelik atau mencurigakan, tiada ikon kunci (HTTPS), serta tawaran yang terlalu bagus untuk dipercayai. Jika laman itu meminta maklumat peribadi tanpa tujuan jelas, itu juga petanda besar.
Adakah semua laman web tanpa HTTPS dianggap scam?
Tidak semestinya. Ada laman baru atau laman blog peribadi yang belum memasang sijil SSL. Namun, jika laman tersebut meminta maklumat sensitif seperti nombor kad kredit atau butiran bank tanpa HTTPS, itu sangat mencurigakan.
Bagaimana saya boleh menyemak sama ada satu laman web itu selamat atau tidak?
Adakah website scam hanya menipu melalui jual beli dalam talian?
Tidak. Website scam juga digunakan untuk:
- Menyamar sebagai laman bank atau institusi kewangan - Menipu dalam bentuk pelaburan palsu - Pendaftaran kerja tidak sah - Penipuan hadiah percuma
Jika saya sudah terlanjur memberikan maklumat peribadi, apa yang patut saya lakukan?
Segera lakukan tindakan berikut:
- Hubungi bank atau penyedia perkhidmatan berkaitan - Tukar semua kata laluan penting - Laporkan kepada CyberSecurity Malaysia di https://www.mycert.org.my/ - Pantau akaun bank dan emel untuk sebarang aktiviti mencurigakan
Bolehkah saya laporkan laman web scam kepada pihak berkuasa?
Ya. Anda boleh laporkan kepada:
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui CCID - CyberSecurity Malaysia
Maklumat anda akan membantu menghalang penipuan seterusnya.
Kisah Duit Kena Kebas Dengan Pekerja Dan Dapatkan Semula Wang | Scammer pada hari ni boleh dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana untuk menjadi scammer ni lebih mudah dengan teknologi yang ada pada masa kini. Walaupun teknologi yang berkembang pesat, tapi pemikiran sesetengah golongan terutama rakyat Malaysia, masih lagi ada yang kena scam walaupun benda tu basic kita dah tahu memang scammer.
Dalam kisah ini saya nak kongsikan cerita dari Facebook di majikan ni telah lesap duit dalam akaun bank Maybank dan dia berjaya dapatkan semula. Mungkin kisah ini boleh dijadikan ikhtibar, motivasi kepada mereka yang berputus asa untuk dapatkan semula wang lepas kena scam.
Episod 1 – Duit Kena Kebas Dengan Pekerja
LESAPPP DUIT akuu dalam maybank pagi tadi baru perasan😢😔 tinggal RM24.85 sen je kt aku
Call Maybank ✅ Report polis ✅ Pergi Maybank terdekat ✅
Ada lagi ke cawangan2 yg perlu aku pergi? Utk settle kes ni😔
Entah la, tak tahu nak kupas macam mana topik kali ni, sedih terkilan semua ada. Sedihhh. Penat kerja cari duit, hilang macam tu je.
Yang pelik, OTP / TAC tak dapat tapi duit dah selamat di account Cik Nurul Alya tu. (AKU TAKTAHU SIAPA DIA ALYA NI)
Account maybank ni mmg aku tak guna sangat, cuma untuk bayar duit kereta je tiap-tiap bulan. Memang tak ada shopping ke ape ke pakai kad ni. Sebab aku tau Ogos/September/Oktober aku bakal bercuti bersalin/pantang. Aku saving duit kereta untuk 3 bulan terus. Tak sangka. Hilangggggggg ….nangissss teruk laaa utk dugaan kali ni.
Aku memang bukan orang yang suka tekan link sana sini, and kalau dapat call scammer ke call dari siapa saja lah memang aku tak mau layan. Ponnnn kena…. padahal account peribadi ni untuk deduct duit kereta je. Tak pernah-pernah pakai untuk swipe sana sini…
Ajaib bin musykil….. aku tggu siasatan susulan…
Episod 2 – Duit Kena Kebas Dengan Pekerja
SUDAH BAGI KENYATAAN PADA PIHAK POLIS.
Tadi Pukul 11:00pagi
Selesai bagi kenyataan di IPD Taiping , dengan IO siasatan Jenayah Komersial. TQ TUAN.
Kepada pelaku yg bernama Wan Nur Elyssa binti Mior Khalid, jadikanlah peristiwa CURI DUIT MAJIKAN ini sebagai iktibar dan pengajaran untuk masa hadapan nanti. JANGAN CURI DUIT ORG LAGI YA dik.
Adik umur muda lagi, 21 tahun. Masa depan cerah lagi. Cuma tolong ambik iktibar ni.
Memang kalau pikir sakit hati, teraniaya, rasa diperbodohkan nak je dakwa supaya dia masuk ke dalam. Tapi Disebabkan simpati kepada si ibunya yg dah call sy minta tarik kes. Jadi saya close case ni. Saya ada ihsan kesian tengok ibu bapa yang tidak tahu menahu tentang perihal anaknya dan terpaksa meminta maaf bagi pihak anaknya. Hmm kesian…
Rasa sedih bila pekerja yang kita tatang bagai minyak yang penuh, bagi tanggungan makan minum masa bekerja, sanggup tikam majikan dan curi duit majikan. Pukul 9 am songlap RM2500 , pukul10 am sis belanja kau makan subway sama-sama. Takde rasa sekelumit rasa bersalah ke dik???
Esok tu kerja lagi 16/5/22 kau songlap lagi RM1400 rasa sedih terkenangkan semua ni. Tebal jugak muka sis hadap pegawai-pegawai yang nak selesaikan kes ni. Mula2 kau tak mengaku, akhir sekali lepas dah ada bukti baru kau mengaku. Whyyyy dikk??? Manaaa hati dan agama kau????
—————————————
Macam mana dia boleh bukak pin MAE Apps?
Soalan ni ramai yang tanya, jadi saya jawab kat sini je.
Bila bekerja sebagai Personal Assistant (PA) ni, dia akan ikut kita ke mana saja. Jadi dia mugkin sempat tengok pin number majikan dia. Jadi waktu bekerja semasa dia diberi tugas record pengantin dah nak siap, waktu tu lah dia ambil peluang untuk bukak MAE APPS dan transfer amount kepada no account kawannya. MAE APPS menggunakan Secure2u, jadi tak perlukan OTP/TAC number. Click confirm dan approve, duit settle dimasukkan.
Ingat ni dik “Orang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai sebaliknya orang khianat menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.”
Nilai Utama Dalam Etika Kerja Sebagai Ibadah adalah AMANAH.
Antara amalan amanah ialah;
1) Sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
2) Sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng dan cuai.
3) Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa.
4) Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi.
5) Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya.
6) Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Jumlah kerugian pun dah diberi kembali sebanyak RM3900 .
Ambil iktibar ye ambil iktibar. Kepada majikan diluar sana, ambil iktibar juga lah pada peristiwa mcm ni.
Tuhoop scam ke real? Mesti korang tertanya-tanya ataupun tercari-cari info mengenai benda ni sebab korang nak cuba join setelah rakan-rakan yang lain dah berbalik modal. Betul tak?
Jadi dalam artikel ni saya akan cuba berikan info yang lengkap dan nanti korang sendiri tentukan samaada nak join atau tak.
Itu hak masing-masing. Duit sendiri punya.
Tepuk dada tanya iman.
Sebelum saya teruskan artikel ni, di sini saya ingin menjelaskan bahawa dalam artikel ni saya sesekali TIDAK mengatakan Tuhoop atau Turing AI atau juga dikenali sebagai Robot oleh pemain adalah satu program scam.
Sebabnya saya tidak mempunyai bukti yang kukuh lagi setakat ni sebab pembayaran mereka pada pemain-pemain sangatlah lancar dan clear tanpa ada komplain setakat ini.
Namun apa jua pelaburan yang kita join hendaklah berhati-hati terutama pelaburan baru.
Kadang-kadang benda ni dia pusing-pusing je.
Hari ni keluar skim lain, kemudian bila dah dapat banyak kutip deposit duit orang ramai, terus cabut dan tinggalkan pelabur yang baru melabur.
Pelabur yang dah lama join mungkin berbalik modal tapi pelabur baru akan terus berputih mata.
Bila dah lama sikit, orang pun dah lupa, keluar pula skim lain tapi konsepnya tetap sama iaitu mula-mula pembayaran sangat cantik, clear dan kemudian bila dah ramai orang join dan labur, mereka akan mula melarikan diri bersama-sama dengan duit pelabur.
Ni saya katakan umum tidak menuju kepada Tuhoop supaya korang berhati-hati dan berfikir.
Faham baik-baik.
Tuhoop Scam ke Real? Review Tuhoop Malaysia
Di sini saya akan ceritakan secara lebih detail mengenai website Tuhoop ni supaya korang benar-benar faham macam mana skim website ni, harga sewa robot, bila ditubuhkan dan sebagainya.
Lepas saya dah ceritakan ni, buatlah keputusan yang bijak samaada nak join atau nak blah.
Apa itu Tuhoop?
Tuhoop adalah satu pelaburan bitcoin yang dikendalikan oleh sistem ataupun robot secara auto setiap hari. Apa yang perlu ahli buat adalah, hanya sediakan duit untuk menyewa robot sebagai modal permulaan dan pemain akan dijanjikan dengan bayaran ataupun untung setiap hari.
Sebagai contoh anggaran untung setiap hari untuk penyewa robot nombor 2 adalah sebanyak USD1.65/sehari
Contoh lagi anggaran untung setiap hari untuk penyewa robot nombor 5 pula adalah sebanyak USD165/sehari.
Tapi korang perlu ingat.
Sebelum robot ni bekerja untuk kita, kita kena sewa robot ni dulu.
Sekali bayar robot akan bekerja selama sebulan.
Nak robot ni bekerja lagi untuk kita, kena renew pula pada bulan yang seterusnya.
Begitulah seterusnya sampai korang tak nak main lagi benda ni.
Harga Sewaan Robot
Harga sewa robot setiap bulan dari robot nombor 1 sampailah nombor 5 boleh rujuk di bawah.
Ok di sini saya senaraikan harga bagi setiap robot dan anggaran keuntungan.
Jika korang berminat untuk join Tuhoop ni, korang mesti masuk melalui seseorang samaada orang tu sedar ataupun tidak.
Maksud saya di sini, semasa mendaftar masuk korang wajib masukkan username salah seorang ahli yang dah join sebelum ni.
Biasanya username ni adalah username yang memperkenalkan korang mengenai program ni. Lebih kurang macam leader la.
Kalau tak masukkan nanti korang tak boleh nak daftar seperti yang ditunjukkan gambar di bawah ni.
Jadi di sini selain buat pelaburan bitcoin ia juga ada unsur-unsur MLM.
Cara main?
Macam yang saya katakan tadi, bayar je sewa robot ni tiap-tiap bulan lepas tu boleh tidur dan duit akan masuk setiap hari.
Tak perlu nak belajar apa-apa.
Fakta Meragukan Tentang Tuhoop
Berikut adalah beberapa fakta yang meragukan tentang Tuhoop yang saya kumpulkan sendiri.
#1. Tarikh terbinanya Tuhoop
Saya pernah tanya kawan saya yang join benda ni.
Saya tanya bila benda ni dilancarkan?
Dengan yakinnya dia bagi jawapan sejak tahun 2016 lagi. Ada juga yang jawab 2018.
Adakah dia dapat info yang salah atau tidak ambil tahu?
Betul ke sejak tahun 2016 lagi benda ni dilancarkan?
Jom tengok fakta yang tak boleh menipu ni.
Mengikut data website dari WHOIS, laman web Tuhoop.com telah dibina pada 4 Mei 2021.
Masa artikel ni ditulis, website ni iaitu Tuhoop.com baru berusia lebih kurang 5 bulan.
Baru lagi gais.
Jadi, mana datangnya ahli mereka kata Tuhoop ni ditubuhkan sejak tahun 2016 atau 2018 lagi?
Penat macam ni kalau ahli sendiri yang join pun missleading fakta bila website ni ditubuhkan.
So, maksudnya di sini website ni masih baru lagi untuk korang buat pelaburan dan kalau nak join hendaklah sentiasa berhati-hati.
Sekali lagi saya nak nyatakan di sini, saya tidak buat apa-apa tuduhan pada website Tuhoop.com. Saya cuma sampaikan fakta untuk korang berfikir secara rasional.
Korang nak join? Silakan.
Untung rugi duit masing-masing.
#2. Info Syarikat Disembunyikan
Saya dah cuba cari info penuh syarikat yang membangunkan Tuhoop ni tapi tak jumpa juga. Saya nak tengok juga di mana mereka berpangkalan, nombor pejabat, organisasi dan sebagainya.
Sebagai bisnes pelaburan, mendedahkan identiti syarikat adalah penting supaya pelabur tahu mereka melabur dengan siapa.
Kat mana nak rujuk jika ada masalah dan sebagainya.
Siapa yang boleh bagi info syarikat untuk Tuhoop ni secara detail?
Jika ada boleh la tinggalkan komen di bawah.
#3. Website Buruk
Pernah korang layari web Tuhoop.com melalui laptop ataupun desktop?
Buruk benar rupanya apa yang saya tengok.
Nombor bertindan antara satu sama lain.
Tak tahulah kalau korang nampak cantik.
Ia agak menarik bila view dekat phone seperti website normal.
Tapi apa yang saya nak tekankan di sini adalah, takkan web ni didesign untuk phone saja?
Website mengutip deposit orang beribu-ribu sepatutnya bukan macam ni ciri-ciri website nya.
Kedua-dua platform sepatutnya boleh dilihat secara professional.
#4. Sistem Pembayaran Yang Tidak Selamat Dan Tidak Formal
Apa yang saya perasan, sudah seminggu lebih keluar warning untuk pembayaran secara online banking.
Bila saya cuba nak buat pembayaran melalui online banking secara auto, ini yang terjadi.
Sepatutnya syarikat yang menubuhkan website ni kena jaga reputasi mereka. Nak settel benda ni pun ambil masa seminggu lebih dan sampai sekarang pun belum settel lagi.
Untuk buat deposit dalam website ni buat masa sekarang, hanya satu cara saja iaitu melalui Manual Banking.
Maksudnya korang kena pergi ke mesin ATM dan buat deposit secara manual. Atau yang mana dah ada akaun online bankin tu, login seperti biasa dan buat deposit secara manual.
Ini nama akaun dan juga nombor akaun yang perlu korang perlu deposit dalam website Tuhoop.com ni sebelum menyewa robot.
Tambahan pula, mereka menggunakan akaun bank yang berbeza-beza ketika saya semak semula.
Semakkan pada 21 September 2021
Semakkan pada 7 Oktober 2021
Kenapa mereka gunakan akaun yang berbeza-beza?
Sebab?
Teori saya mengatakan jika mereka scammer, mereka senang nak lari dan jika ada report polis dibuat, ia akan menyukarkan untuk pihak polis jalankan siasatan bila main dengan banyak akaun ni.
Korang perlu ingat.
Nak siasat jenayah komersial ni bukan senang polis nak cari bukti tambahan lagi bila korang dengan rela hati melabur dalam skim tertentu.
#5. Website Sembunyi Dari Google
Saya ada cuba buat test dengan taip domain tuhoop.com di Google.
Apa yang mengejutkan saya, hanya ini saja yang keluar di Google. Page yang lain tidak ditunjukkan di Google.
Sebagai seorang yang berpengalaman dalam website selama 8 tahun, bila page website yang lain tidak keluar di Google, ini bermakna mereka sengaja tidak mendedahkan website mereka ataupun mengindex website mereka di Google.
Tapi kenapa ya mereka tidak mengindex website mereka di Google?
Google adalah salah satu search engine yang paling cerdik.
Mereka boleh menghidu kegiatan-kegiatan website seperti Phising, Malware, Scam dan sebagainya. Jika terhidu oleh Google, secara pantas Google akan menghalang web tersebut dari mengakses melalui Google.
#6. Applikasi Phone Meragukan
Ramai ahli-ahli mereka kata Tuhoop dah ada applikasi sendiri dan boleh download di Google Play.
Saya sendiri pun tak faham dengan ahli yang join pelaburan ni samaada mereka betul-betul faham atau tak applikasi tu dah ready download di Google play atau tak.
Bila saya sendiri cari applikasi tu di Google Play tak ada pun dan terus whatsapp support mereka tanya macam mana nak download applikasi Tuhoop ni dan ini jawapan yang mereka beri.
Saya beritahu sekali lagi applikasi ni tak wujud pun di Google Play.
Rupa-rupanya, nak download applikasi mereka ni bukan melalui Google Play tapi link luar dan applikasi tersebut masih lagi dalam file .apk.
Boleh rujuk gambar di atas. Itu adalah link untuk download applikasi tersebut.
Maksudnya applikasi tu mungkin dah siap dibina tapi secara tidak official boleh download dalam Google Play.
Jika skim ni skim yang benar, owner sepatutnya letakkan applikasi ni dalam Google Play. Bukan download melalui link luar.
Biar team Google Play tentukan applikasi ni selamat digunakan atau tidak sebab nak lepas sesuatu applikasi terutama applikasi yang mengambil deposit orang ramai ni bukan sesuatu yang mudah untuk diapprove oleh team Google Play.
Update: Akhirnya Turing AI dah boleh download di Play Store secara official. Tapi tak bermaksud sesuatu app yang diapprove oleh Google Play adalah selamat. Berhati-hati itu lebih baik.
Update ke-2: Aik. Hari ni 16 Oktober 2021 bila saya semak semula applikasi Tuhoop di Google Play dah tak ada pula. Sekejap ada, sekejap tak ada.
#7. Claim Diri Sendiri Top Ten Investor
Adalah sesuatu yang memalukan jika apa yang kita claim tidak sama dengan fakta yang betul.
Sama juga dengan produk kecantikkan keluaran baru.
Semuanya nak claim terbaik dan top ten.
Bila guna bukannya ada kesan positif malah ada yang jadi lebih teruk.
Masa artikel ni ditulis, ranking untuk website ni adalah 1818568 untuk worldwide dan ranking di Malaysia pula adalah 10,060.
Jadi, mari mana top ten tu?
Namun hal ni bukanlah sesuatu kesalahan besar untuk diragukan dan dijadikan point.
Tapi website yang ada integriti mereka tidak akan claim apa-apa selagi mereka tidak mencapai sesuatu tahap tersebut.
Halal Ke Haram Join Pelaburan Ni?
Halal atau haram sesuatu skim saya tidak boleh menjatuhkan hukum secara terus.
Lagipun saya bukan ahli agama yang boleh menjatuhkan sesuatu hukum.
Kita kena lihat pelbagai faktor.
Tapi bila saya cari info kemana duit kita akan pergi bila join Tuhoop ni tak ada.
Cuma kita bayar untuk robot bekerja setiap hari untuk kita dapat keuntungan.
Bagi pandangan saya sendiri, benda ni syubhah iaitu sesuatu yang meragukan sebab kita tak tahu ke mana duit kita pergi, macam mana keuntungan dapat dan sebagainya.
Jadi, awal-awal lagi saya angkat kaki.
Kesimpulan
Kesimpulan yang boleh saya beritahu di sini, saya nasihatkan berhati-hatilah jika kita buat sesuatu pelaburan. Mungkin dalam jangka masa pendek kita akan dapat keuntungan sebab nak mengaburi mata ahli bahawa skim ni bukan scam. Bila orang fikir benda ni bukan scam, mereka akan ajak seberapa ramai ahli yang mungkin sambil tunjuk keuntungan yang dah dapat sehinggalah suatu hari nanti bila mereka dah capai target yang mereka nak, mereka akan tinggalkan pelabur-pelabur ni berputih mata.
Nak buat report polis tu boleh.
Tapi adakah polis akan siasat kes ni sampai akhir?
Tidak.
Sekarang ni saya dah emailkan kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bertanyakan status Tuhoop.com samaada ada mereka ada lesen kebenaran untuk mengutip deposit dari orang ramai untuk tujuan pelaburan atau tidak.
Jika dah ada maklum balas dari pihak BNM, saya akan update di sini.
Secara peribadi, saya tidak menggalakan korang join benda ni. Tapi kalau rasa nak cuba, sila lah. Tak ada sesiapa yang nak melarang.
Tujuan saya buat artikel ni, cuma nak suruh korang berfikir panjang sebelum join sesuatu. Bukan menghalang atau menghasut supaya tidak join.
Masing-masing dah besar panjang kan mana baik dan mana buruknya.
Kalau korang nak tengok dalam bentuk video, penerangan saya dalam bentuk video mengenai Tuhoop ni, boleh la tengok di bawah ni atau tengok secara direct di YouTube Channel Blog Faiz.
Update 6 Okt 2021: Maklumbalas Dari BNM
Setelah hampir seminggu saya email pada pihak Bank Negara Malaysia mengenai Tuhoop tidak berbalas, akhirnya saya dapat reply pada email kedua bertarikh 6 Okt 2021.
Jadi, ini email yang saya dapat dari pihak bank negara Malaysia.
Untuk baca dengan lebih lanjut, sila klik pada gambar untuk besarkan gambar.
Jadi, secara kesimpulan dari maklum balas email pihak BNM, sudah jelaslah Tuhoop.com tidak berdaftar dengan pihak bank negara untuk mengambil deposit daripada orang ramai untuk membuat pelaburan.
Untuk kemudahan korang mengenal pasti sama ada sesebuah institusi kewangan/syarikat itu berlesen dengan BNM atau sebaliknya, sila rujuk senarai institusi kewangan/syarikat yang diberi lesen oleh BNM di laman web BNM seperti di pautan berikut: